Pegawai Dietetik HPUSM Raih Tempat Ketiga di Malaysian Dietitian Association (MDA) 2026
5 Julai 2026
Tahniah diucapkan kepada Puan Nur Amanina, Pegawai Dietetik, Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), atas kejayaan meraih Tempat Ketiga dalam kategori Dietitian/Postgraduate Oral Presentation sempena Malaysian Dietitian Association (MDA) Conference 2026 yang telah berlangsung pada 5 Julai 2026.
Puan Nur Amanina telah membentangkan kajian bertajuk "Texture Beyond Modification: Multidisciplinary Approach in Nutrition Management of Sarcopenia in Hospitalized Elderly Patients with Dysphagia", yang mengetengahkan kepentingan pendekatan multidisiplin dalam pengurusan pemakanan pesakit warga emas yang mengalami sarkopenia dan disfagia.
Pembentangan tersebut memberi penekanan bahawa pengurusan pesakit disfagia tidak hanya tertumpu kepada pengubahsuaian tekstur makanan, malah memerlukan kerjasama erat antara pelbagai disiplin termasuk pegawai dietetik, doktor, ahli terapi pertuturan, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja, jururawat serta penjaga bagi memastikan intervensi pemakanan yang komprehensif dan berkesan.
Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen dan kecemerlangan Pegawai Dietetik HPUSM dalam bidang penyelidikan dan amalan klinikal, di samping mengharumkan nama Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia di peringkat kebangsaan.
Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga HPUSM untuk terus memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan demi manfaat pesakit dan masyarakat.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Puan Nur Amanina atas pencapaian yang membanggakan ini.
- Hits: 23


