Skip to main content

Ambulance Icon
Ambulans:09-767 3232
Phone Icon
Talian Umum: 09-767 3000
Code Blue Icon
Code Blue: 09-767 3030

TEMPLATE

Pegawai Dietetik HPUSM Raih Tempat Ketiga di Malaysian Dietitian Association (MDA) 2026

5 Julai 2026

Tahniah diucapkan kepada Puan Nur Amanina, Pegawai Dietetik, Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), atas kejayaan meraih Tempat Ketiga dalam kategori Dietitian/Postgraduate Oral Presentation sempena Malaysian Dietitian Association (MDA) Conference 2026 yang telah berlangsung pada 5 Julai 2026.

Puan Nur Amanina telah membentangkan kajian bertajuk "Texture Beyond Modification: Multidisciplinary Approach in Nutrition Management of Sarcopenia in Hospitalized Elderly Patients with Dysphagia", yang mengetengahkan kepentingan pendekatan multidisiplin dalam pengurusan pemakanan pesakit warga emas yang mengalami sarkopenia dan disfagia.

Pembentangan tersebut memberi penekanan bahawa pengurusan pesakit disfagia tidak hanya tertumpu kepada pengubahsuaian tekstur makanan, malah memerlukan kerjasama erat antara pelbagai disiplin termasuk pegawai dietetik, doktor, ahli terapi pertuturan, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja, jururawat serta penjaga bagi memastikan intervensi pemakanan yang komprehensif dan berkesan.

Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen dan kecemerlangan Pegawai Dietetik HPUSM dalam bidang penyelidikan dan amalan klinikal, di samping mengharumkan nama Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia di peringkat kebangsaan.

Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga HPUSM untuk terus memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan demi manfaat pesakit dan masyarakat.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Puan Nur Amanina atas pencapaian yang membanggakan ini.

  • Hits: 23

Reruai Healthy@HPUSM 2026 di Majlis Perutusan Naib Canselor

14 Februari 2026

Unit Pemakanan dan Dietetik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menyertai Reruai Healthy@HPUSM 2026 sempena Majlis Perutusan Naib Canselor yang berlangsung pada 14 Februari 2026.

Penyertaan reruai ini dikendalikan oleh dua orang Pegawai Dietetik, iaitu Puan Nor Syarahani dan Puan Khairun Nisah, yang telah berkongsi pelbagai informasi berkaitan amalan pemakanan sihat serta gaya hidup aktif kepada warga universiti yang hadir.

Sepanjang program berlangsung, para pengunjung berpeluang mendapatkan khidmat nasihat pemakanan, pendidikan kesihatan serta maklumat berkaitan pemilihan makanan yang sihat. Pelbagai bahan pendidikan turut dipamerkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemakanan seimbang dalam mencegah penyakit tidak berjangkit dan mengekalkan kesihatan yang optimum.

Penganjuran reruai ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Universiti Sains Malaysia (USM), sekali gus menjadi platform terbaik dalam menyampaikan mesej kesihatan serta menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha memperkukuh budaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus dan komuniti.

  • Hits: 21

Ceramah Program Jom Makan Secara Sihat 2026

24 Jun 2026 | Dewan Haji Kemachi, SK Mentuan, Kota Bharu

Sekolah Kebangsaan Mentuan telah menganjurkan Program Jom Makan Secara Sihat Tahun 2026 pada 24 Jun 2026 (Rabu) bertempat di Dewan Haji Kemachi, sebagai salah satu usaha memupuk amalan pemakanan sihat dalam kalangan murid sejak usia muda.

Program yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) SK Mentuan ini menampilkan Pn. Anis Najwa Binti Che Samsuzuki, Pegawai Dietetik U9, sebagai penceramah jemputan.

Sepanjang sesi ceramah, para murid didedahkan kepada kepentingan mengamalkan pemakanan seimbang berpandukan konsep Pinggan Sihat Malaysia "Suku-Suku Separuh", kepentingan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, pemilihan snek yang lebih sihat, serta amalan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman tinggi gula, garam dan lemak.

Ceramah turut disampaikan secara interaktif bagi meningkatkan kefahaman murid mengenai hubungan antara pemakanan yang sihat dengan tumbesaran, kecergasan fizikal, pencapaian akademik serta pencegahan penyakit tidak berjangkit pada masa hadapan.

Melalui program ini, diharapkan murid dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan membuat pilihan makanan yang lebih bijak dalam kehidupan seharian. Penganjuran program seumpama ini juga diharap dapat memperkukuh kerjasama antara pihak sekolah dan profesional kesihatan dalam usaha melahirkan generasi yang lebih sihat, cergas dan berpengetahuan.

#JomMakanSecaraSihat2026 #SKMentuan #PemakananSihat #MalaysiaSihat #Dietitian #AmalanGayaHidupSihat

  • Hits: 45

Pameran War On Sugar 2026 Anjuran Jawatankuasa Kelestarian

5-6 Mei 2026- Jawatankuasa Kelestarian Hospital Universiti Sains Malaysia (HPUSM) telah menganjurkan Minggu Kelestarian USM 2026 yang menampilkan kempen utama seperti “War on Sugar” dan “War on Vape & Smoke”. Beberapa orang Pegawai Dietetik, pelajar USM, pelajar UPM serta seorang pembantu khidmat am telah terlibat dalam pameran tersebut. Sepanjang pameran berlangsung, pameran makanan tinggi gula serta pemeriksaan kesihatan berkaitan data antropomterik termasuklah tinggi, berat, peratusan lemak dalam badan, peratusan otot badan serta "diet chit chat" diadakan untuk memberi pencerahan mengenai status antropometrik peserta terlibar

  • Hits: 46

Sesi Ceramah HRMIS kepada Staf

Satu sesi ceramah HRMIS telah disampaikan oleh Puan Nisa bagi memberi penerangan dan pendedahan berkaitan penggunaan sistem HRMIS kepada warga kerja UPD. Ceramah ini bertujuan meningkatkan kefahaman staf mengenai fungsi dan kepentingan HRMIS dalam pengurusan maklumat serta urusan perkhidmatan secara atas talian.

Antara pengisian yang dikongsikan termasuk tatacara pengemaskinian maklumat peribadi, permohonan cuti, rekod perkhidmatan serta penggunaan modul-modul utama dalam sistem HRMIS. Para peserta turut berpeluang mengemukakan pertanyaan dan mendapatkan penjelasan berkaitan isu penggunaan sistem.

Sesi berlangsung dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada staf yang hadir. Program seperti ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kecekapan serta memudahkan urusan pengurusan sumber manusia dalam organisasi.

  • Hits: 120