Skip to main content

Ambulance Icon
Ambulans:09-767 3232
Phone Icon
Talian Umum: 09-767 3000
Code Blue Icon
Code Blue: 09-767 3030

Perkhidmatan Dari Dapur Hospital

Unit Pemakanan dan Dietetik

Dapur Hospital

Menyediakan perkhidmatan makanan yang selamat, berkualiti dan berkhasiat bagi menyokong rawatan serta proses pemulihan pesakit.

Berkualiti Selamat Berkhasiat Patuh Syariah

Pengenalan

Dapur Hospital berperanan penting dalam memastikan penyediaan makanan yang berkualiti, selamat dan berkhasiat kepada semua pesakit yang dirawat di hospital. Dapur Hospital menjadi tulang belakang kepada perkhidmatan pemakanan pesakit, selaras dengan objektif hospital untuk memberikan rawatan menyeluruh yang turut merangkumi aspek pemakanan terapeutik.

Bahagian Utama Dapur Hospital

Operasi Dapur Hospital dibahagikan kepada dua bahagian utama bagi memastikan setiap proses penyediaan dan penghidangan makanan dapat dilaksanakan secara sistematik, selamat dan efisien.

1. Bahagian Penyediaan

Bahagian Penyediaan bertanggungjawab menguruskan proses penyediaan makanan bermula daripada penerimaan bahan mentah sehingga makanan siap dimasak mengikut menu dan jenis diet yang telah ditetapkan.

  • Menerima dan memeriksa kualiti bahan mentah.
  • Menyimpan bahan makanan mengikut kaedah dan suhu yang sesuai.
  • Membersihkan, memotong dan menyediakan bahan masakan.
  • Memasak makanan mengikut menu serta resipi piawai hospital.
  • Menyediakan diet biasa dan diet terapeutik berdasarkan preskripsi Pegawai Dietetik.
  • Memastikan kebersihan dan keselamatan makanan dipatuhi pada setiap peringkat penyediaan.

2. Bahagian Sajian

Bahagian Sajian bertanggungjawab memastikan makanan yang telah disediakan diagihkan dengan tepat, kemas dan selamat kepada pesakit serta pelanggan lain yang menerima perkhidmatan makanan hospital.

  • Menyemak jenis diet dan maklumat pesakit sebelum makanan diagihkan.
  • Membahagikan makanan mengikut saiz hidangan yang telah ditetapkan.
  • Menyusun makanan di dalam dulang pesakit dengan kemas.
  • Menghantar makanan ke wad mengikut jadual waktu sajian.
  • Memastikan pesakit menerima hidangan yang betul berdasarkan preskripsi diet.
  • Menguruskan pengumpulan dulang dan pembersihan peralatan selepas waktu sajian.

Skop Perkhidmatan

1. Penyediaan Makanan Pesakit Dalam
  • Menyediakan makanan mengikut jenis diet yang ditetapkan, termasuk diet biasa, diet lembut, diet diabetes, diet rendah garam, diet tinggi protein dan lain-lain diet terapeutik.
  • Hidangan disediakan berdasarkan preskripsi Pegawai Dietetik dan garis panduan pemakanan hospital.
2. Penyediaan Makanan untuk Pegawai Perubatan Bertugas Atas Panggilan
  • Menyediakan hidangan kepada Pegawai Perubatan yang menjalankan tugas atas panggilan atau doctor on call.
  • Menawarkan menu yang seimbang serta memenuhi prinsip pemakanan sihat.
3. Penyediaan Makanan untuk Unit Perubatan Transfusi
  • Menyediakan hidangan sarapan kepada penderma darah sebagai sebahagian daripada perkhidmatan sokongan hospital.

Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan

Dapur Hospital telah berjaya memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula pada tahun 2020.

Hospital USM turut mengamalkan prinsip Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dalam setiap peringkat penyediaan makanan.

Pemantauan terhadap kebersihan persekitaran, peralatan, bahan mentah dan pengendali makanan dilakukan secara berkala bagi memastikan keselamatan serta kualiti makanan sentiasa terjamin.

Komitmen Dapur Hospital

Dapur Hospital sentiasa komited untuk:

  • Memberikan perkhidmatan penyediaan makanan yang berkualiti, bersih dan menepati piawaian kesihatan.
  • Menyokong rawatan dan proses pemulihan pesakit melalui penyediaan makanan yang memenuhi keperluan diet individu.
  • Memastikan setiap hidangan disediakan dan diagihkan dengan penuh tanggungjawab, profesionalisme dan integriti.
  • Mengutamakan keselamatan makanan serta kepuasan pelanggan dalam setiap aspek perkhidmatan.
Moto Dapur Hospital

“Makanan Berkualiti, Pemulihan Optimum”

Video Korporat Dapur Hospital