Skip to main content

Ambulance Icon
Ambulans:09-767 3232
Phone Icon
Talian Umum: 09-767 3000
Code Blue Icon
Code Blue: 09-767 3030

BERITA

Pesta Sukan Rakyat @HPUSM

'DULU SUKO DULU': HPUSM IMBAU KENANGAN PERMAINAN TRADISIONAL RAKYAT

 

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 September 2025 – ‘DULU SUKO DULU’, 'tagline' yang membawa kita mengimbau kembali keseronokan bermain zaman kanak-kanak di tahun 70-an, 80-an dan 90-an.

Sepak raga bulatan, tarik upih, terompah gajah dan susun tin antara sukan rakyat yang telah tenggelam ditelan arus kemodenan. Bagi mengembalikan semula nostalgia dulu-dulu, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) mengumpul barisan petugas tanpa mengira jawatan bersama-sama memeriahkan Pesta Sukan Rakyat HPUSM sempena Hari Malaysia 2025.

Pelbagai acara sukan rakyat dipertandingkan seperti terompah gajah, tarik tali, boling kelapa, lari dalam guni, pancing dalam botol, sepak raga bulatan dan tarik guni. Staf dibahagikan kepada empat (4) pasukan yang mengangkat warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih, biru dan kuning sebagai warna rasmi pasukan masing-masing.

Pesta Sukan Rakyat HPUSM yang berlangsung di Kompleks Sukan 1, Kampus Kesihatan, telah dirasmikan oleh Pengarah HPUSM, Profesor Dato' Dr. Ab Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani. 

Menurut beliau, pesta sukan rakyat yang diadakan ini bukan sekadar satu acara riadah, tetapi program ini menyokong agenda kelestarian sosial dan kesejahteraan komuniti yang sentiasa menjadi fokus HPUSM.

"Bagi pihak pengurusan HPUSM, saya sangat hargai komitmen serta kesungguhan semua staf yang sanggup sertai dan memeriahkan pesta sukan rakyat ini. 

“Terus kekalkan semangat sebegini bagi memastikan staf HPUSM sentiasa aktif, sihat fizikal dan jasmani.

“Terima kasih juga kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) Kelantan yang sudi menaja dan menyediakan hamper cabutan bertuah sebagai tanda kebersamaan kita dalam menyokong aktiviti yang mengangkat dan mengembalikan semula nostalgia permainan tradisi nenek moyang kita dahulu," katanya semasa menyampaikan ucapan di pesta sukan berkenaan, semalam.

Lebih menarik lagi, Ab Rahman Izaini dan tetamu jemputan lain turut menyertai acara boling kelapa sebagai tanda kebersamaan dan satu keluarga besar HPUSM.

Juara keseluruhan Pesta Sukan Rakyat kali pertama ini disandang oleh pasukan kuning yang diwakili oleh staf Jabatan Kejururawatan dan diketuai oleh Penyelia Jururawat, Wahida Daud.

Selain acara sukan, tiga (3) hadiah khas turut dipertandingkan bagi peserta yang menepati tema pesta sukan ini. Pemenang pakaian terbaik lelaki dimenangi oleh Pembantu Perawatan Kesihatan Kanan, Zahari Ismail, manakala bagi kategori wanita dimenangi oleh Jururawat, Nor Aida Mohd Apandi. Sementara itu, Penyelia Jururawat, Md Fadhil Mat Amin pula dipilih sebagai peserta paling 'sporting' sepanjang pesta sukan tersebut.

Turut hadir memeriahkan pesta sukan ini ialah Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud; Pengurus Kawasan, Bank Simpanan Nasional (BSN) Kelantan, Muhammad Faris Shamsuddin; Ketua Jabatan, Jabatan Kejururawatan, Norhayati Mohamad; Ketua Jabatan, Jabatan Farmasi, Mohd Hanif Abdul Rahman; Ketua Unit Kerja Sosial Perubatan, Shamsul Amri Sallehuddin dan Penolong Pendaftar Kanan, Unit Pembangunan Korporat merangkap Pengerusi Pesta Sukan Rakyat HPUSM, Mirawaty Mat Ghani. 

 

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/ Foto: Unit Fotografi UKAST

 

  • Hits: 180